Pengagihan
Zakat
Zakat
dikutip untuk mencapai beberapa matlamat. Selain daripada menyucikan harta
dan jiwa pembayar zakat, zakat adalah salah satu daripada sumber pembiayaan
utama bagi matlamat-matlamat kebajikan dan pembangunan yang selaras dengan
peruntukan syarak bagi kelapan-lapan asnaf zakat.
Firman Allah yang bermaksud:-
'Sesungguhnya
sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang
miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang
dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya,
dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan
Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan
hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya)
dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:
60)
Disebabkan
penerima zakat sudah ditentukan oleh Allah S.W.T sendiri, maka penggunaan
kutipan zakat tidak boleh lari daripada lapan golongan penerima ini. Selagi
ada penerima zakat yang berhak menerima, selagi itu kutipan zakat itu
mesti diagihkan pada penerima tersebut.
Asnaf Penerima Agihan Zakat
I.
Fakir
Orang
yang tidak mempunyai harta atau usaha yang dapat menghasilkan 50 peratus
daripada keperluan hidupnya seharian (pendapatannya kurang daripada 50%).
II.
Miskin
Orang
yang mempunyai harta dan usaha yang dapat menghasilkan lebih daripada
50% untuk keperluan hidupnya seharian tetapi tidak mencukupi. (Pendapatannya
tidak mampu memenuhi keperluan harian).
III.
Amil
Orang
yang dilantik atau pekerja-pekerja (kakitangan) yang boleh dipercayai
mengurus hal ehwal zakat, mengumpul dan membahagikan kepada yang berhak
menerimanya sesuai dengan Hukum Syarak.
IV.
Muallaf
Orang
yang baru memeluk Islam dan keimanannya belum lagi kukuh. Mereka ini perlu
dijinakkan hatinya ataupun seseorang yang diharapkan kecenderungan hatinya
untuk menerima Islam.Nota:
Mereka yang telah bertahun-tahun memeluk Islam terkeluar daripada asnaf
muallaf.
V.
Al-Riqab
Hamba
yang dijanjikan oleh tuannya untuk dimerdekakan dengan cara menebus dirinya
dengan sejumlah wang. Dan juga, membebaskan kaum muslimin daripada cengkaman
perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi fizikal, mental, kejahilan
ataupun terkongkong di bawah penguasaan orang yang zalim.
VI.
Al-Gharimin
Orang
yang terpaksa berhutang disebabkan keperluan mendesak yang tidak berlebih-lebihan
bagi diri dan masyarakat Islam yang bukan kerana maksiat (nafsu).
VII.
Fisabilillah
Aktiviti-aktiviti
atau perjuangan di jalan Allah S.W.T seperti menegak syiar Islam, menuntut
ilmu dan seumpamanya.
VIII.
Ibnu Sabil
Orang
yang kekurangan bekalan dalam perjalanan dengan tujuan baik seperti menyiarkan
ajaran Agama Islam dan seumpamanya.
|